Tiga bot nelayan asing Vietnam bersama 41 nelayan warga asing berjaya ditahan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (MARITIM Terengganu) ketika rondaan Op Kuda Laut dan Op Naga Barat pada 19 Mei lalu di kedudukan antara 123 batu nautika dari Kuala Terengganu.
Penahanan ketiga-tiga bot bernombor pendaftaran asing itu berjaya dilakukan oleh aset MARITIM Terengganu kapal KM Redang setelah mengesyaki ke semua nelayan asing itu selesai melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram di perairan negara. Malah ke semua tekong bot tersebut gagal mengemukan sebarang dokumen kebenaran sah untuk berbuat sedemikian.
Menurut Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd Rashid menjelaskan hasil siasatan awal dipercayai kesemua bot terbabit dalam perjalanan menuju ke perairan kepulauan Natuna bagi tujuan transit menambah keperluan mereka atau memindahkan hasil-hasil laut yang dirompak.
Semua nelayan asing terbabit termasuk ketiga-tiga bot yang ditahan itu di bawa ke Jeti Pusat Tahanan Vesel Maritim Terengganu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959/1963.
Keseluruhan rampasan yang melibatkan bot, peralatan menangkap ikan, bekalan diesel sebanyak kira-kira 1,500 liter termasuk hasil tangkapan ikan campur seberat 100kg dianggarkan bernilai RM 4.5 juta keseluruhan.
Untuk rekod, bagi kes penahanan ini merupakan kes ke-7 pada tahun ini di Terengganu.